iklan

Jom..lepak di sini!!!.....

Rabu, 13 Mac 2013

sabah bab5


Isu Kesetiaan?

Isu kesetiaan penduduk kepada negara juga merupakan sesuatu yang harus
difikirkan daripada sudut keselamatan. Hal ini kerana, jika berlaku apa-apa
persengketaan atau peperangan dengan sesebuah negara jiran, kemungkinan rakyat
negara ini menyokong musuh tidak boleh diketepikan. Amerika Syarikat pernah
meragui kesetiaan rakyat berketurunan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua
dengan mengambil langkah seperti mengurung mereka ini di kem tahanan kerana
bimbang akan menyokong Jepun dalam perang. Seramai 120,000 daripada mereka
telah ditahan oleh pihak militer dan FBI atas sebab keselamatan terhadap Amerika.
Mereka ini telah ditempatkan di beberapa kem tahanan di beberapa buah negeri
termasuk California, Arizona dan Arkansas. Kebanyakan mereka ini kekal di kem
tahanan yang dilingkungi kawat berduri dan dijaga oleh tentera sehingga perang
tamat. Perkara yang sama juga dilakukan ke atas penduduk Arab-Amerika
Syarikat selepas terjadinya Peristiwa 11 September. Pembabitan sebahagian besar
daripada perampas pesawat yang merupakan orang Arab dengan sembilan orang
daripadanya terdiri daripada rakyat Arab Saudi. Perkara ini telah menyebabkan
pihak berkuasa Amerika bertindak menahan rakyat Amerika berketurunan Arab
tanpa bicara, suatu langkah yang bertentangan dalam negara demokrasi. Malah
Brigadier-General Lee Hsien Loong pernah mempersoalkan kesetiaan masyarakat
Melayu kepada Singapura.
Sabah mempunyai pelbagai etnik kaum yang cukup menarik. Terdapat 32
etnik di negeri ini, antara lain; Bajau, Kedayan, Sulu, Melayu Brunei, Kadazan,
Murut, dan lain-lain. Namun ada beberapa suku etnik di Sabah ini yang berasal
dari Filipina dan Indonesia. Suku etnik Bajau dan Sulu berasal dari selatan Filipina.
Manakala suku etnik Bugis dan Jawa pula berasal dari Sulawesi dan Jawa,
Indonesia. Mereka merupakan penduduk Bumiputera Islam di Sabah dan telah
lama menetap di Sabah iaitu sejak abad ke-17 bagi penduduk Bajau dan Sulu dan
sejak 1960-an lagi bagi penduduk keturunan Bugis dan Jawa. Kewujudan
penduduk keturunan etnik dari Filipina dan Indonesia telah menyebabkan migrasi
rantaian berlaku sehingga kehadiran mereka di negeri Sabah tidak pernah putus.
Bagaimanakah kesetiaan mereka ini boleh dipercayai? Dalam hal ini ada dua
kemungkinan yang boleh dilihat berhubung isu kesetiaan ini. Pertama,
membabitkan penduduk keturunan Bajau-Sulu yang telah lama bermastautin di
Sabah. Isu pemilikan dokumen seperti kad pengenalan, surat beranak mahupun
passport antarabangsa bukan satu perkara baru dalam kalangan pendatang Filipina
dan Indonesia. Terbaru, Sabah digemparkan dengan adanya satu sindiket yang
mengeluarkan kad pengenalan bermutu tinggi ‘My Kad’ kepada pendatang.
Sindiket ini membabitkan staf Jabatan Pendaftaran di Semporna. Walaupun identiti
mereka yang terlibat tidak diketahui namun kemungkinan tidak dapat disangkal
yang terlibat mungkin terdiri daripada etnik Bajau-Sulu atau Bugis. Persoalannya
siapakah yang terbabit? Mengapa ini berlaku? Mungkin kerana wang? Namun
motif uutuk memastikan bilangan pendatang yang barangkali mempunyai pertalian
persaudaraan dengan mereka yang sudah lama di Sabah tidak dapat diketepikan.
Kedua, jika berlaku peperangan dengan negara jiran apakah mereka akan tetap
menunjukkan kesetiaan kepada Malaysia? Perkara ini perlu ditimbulkan kerana
mereka berkemungkinan akan menjadi perantara yang boleh menyampaikan
banyak maklumat rahsia yang bakal digunakan oleh pihak musuh bagi
menewaskan negara jika berlaku peperangan. Mereka umpama musuh dalam
selimut dan sekiranya berlaku persengketaan akan menjadi tali barut kepada
negara asal.
Kemungkinan tenaga kerja Indonesia dan pendatang tanpa izin Filipina dan
Indonesia yang ramai di Sabah juga akan turut menjadi mata dan telinga kepada
negara asal mereka jika berlaku sengketa. Perkara ini cukup ketara dalam isu
Ambalat, apabila ada TKI yang sanggup membantu Indonesia jika Jakarta
mengisytiharkan perang ke atas Malaysia. Jika ini benar-benar berlaku maka sudah
tentu Malaysia akan berhadapan dengan masalah besar.
Kehadiran Pendatang Filipina Dan Indonesia Di Sabah
Kehadiran pendatang Filipina dan Indonesia di Sabah bukan suatu perkara baru.
Hal ini disebabkan mereka sudah lama berada di Sabah. Namun apa yang jelas
ialah kita tidak dapat mengenepikan bahawa ada faktor penolak dan penarik yang
menyebabkan kehadiran mereka di Sabah. Faktor tolakan merujuk kepada keadaan
ketidakstabilan politik di selatan Filipina serta ketiadaan pekerjaan di tempat asal
mereka termasuk di Sulawesi. Keadaan ini ditambah lagi oleh faktor penarik, iaitu
pertumbuhan ekonomi yang pesat di Sabah dalam sektor pembinaan, pembalakan,
perladangan yang memerlukan penggunaan buruh yang ramai sekitar tahun-tahun
1980-an. Keadaan ini diburukkan lagi oleh penduduk tempatan sendiri yang
kelihatan tidak berminat melibatkan diri dengan kerja-kerja yang berkaitan 3 ‘D’
iaitu dirty (kotor), dangerous (bahaya) dan difficult (sukar), menyebabkan kerja-kerja
ini terpaksa dilakukan oleh pendatang Filipina dan Indonesia.
Kehadiran pendatang dalam jumlah yang ramai di sesebuah negara sudah
tentu menimbulkan masalah kepada negara hos. Antara 500,000 hingga 700,000
orang Pendatang Tanpa Izin (PTI) didapati tinggal di Sabah berbanding penduduk
Sabah yang berjumlah 2.45 juta orang. Hal inilah yang berlaku kepada pendatang
Filipina dan Indonesia di Sabah. Mereka boleh menimbulkan ancaman kepada
keselamatan penduduk tempatan. Persoalannya bagaimanakah mereka boleh
menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk tempatan?
Ramli Dollah et. al. mendapati bahawa, ramai pendatang Filipina di Sabah
terbabit dengan aktiviti jenayah seperti merompak, merogol dan membunuh
berbanding dengan pendatang Indonesia. Mengapa ini berlaku? Menurut Wan
Shawaluddin Wan Hassan dan Ramli Dollah (2003), perkara ini dikaitkan dengan
konsep maratabat, stereotaip dan budaya dan sikap yang dibawa dari negara asal.
Oleh itu apabila mereka berada di negara ini, mereka menganggapnya seperti
tempat asal mereka. Paling ketara ialah sikap mereka yang tidak menghormati
undang-undang dan ini menyebabkan mereka begitu mudah melanggar undangundang melalui perbuatan mereka seperti mencuri, membunuh, merogol atau
merompak.
Soalnya benarkah pendatang terbabit dalam aktiviti jenayah atau mereka
sengaja dikambinghitamkan oleh pihak tertentu sebagai escapism ? Ramli Dollah,
Fazli Hamid & Rizal Idris mendapati bahawa PTI memang merupakan
penyumbang utama kepada kadar jenayah kekerasan di Kota Kinabalu.40 Misalnya
pada tahun 2001 jumlah jenayah kekerasan yang membabitkan pendatang ialah 171
kes berbanding 127 kes yang dilakukan oleh penduduk tempatan. Angka ini
menurun pada tahun 2002 kepada 73 kes pendatang berbanding 179 oleh penduduk
tempatan tetapi angka ini bertambah pada tahun 2003 kepada 119 berbanding 4159
Wan Shawaluddin, Ramli - Isu-isu Keselamatan Sabah Dan Impak Kepada Malaysia
oleh penduduk tempatan. Penurunan ketara pada tahun 2002 dikaitkan dengan
Ops Nyah II dan ini turut diakui oleh bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli
apabila beliau menyatakan bahawa Ops Nyah II telah berjaya mengurangkan
masalah jenayah di Sabah.
Namun isu yang cukup signifikan misalnya, pada tahun 2003, daripada
4420 banduan di Penjara Kota Kinabalu, 3683 terdiri dari warga asing. Daripada
jumlah tersebut, 3472 merupakan banduan yang melakukan kesalahan pertama,
171 merupakan banduan yang melakukan kesalahan kedua dan 27 banduan
merupakan pelaku kesalahan ketiga dan lebih.42 Perkara ini menunjukkan betapa
masyarakat terdedah kepada ancaman daripada pendatang.
Penyeludupan di Sabah juga digerakkan oleh pendatang asing dengan
bantuan sindiket luar. Penyeludupan ini membabitkan barangan seperti dadah
(syabu) dan senjata api. Satu contoh cubaan untuk menyeludup masuk senjata
api dari luar ialah apabila ATM telah menahan seramai 22 rakyat asing di Pulau
Langkayan, Sandakan pada 27 April 2003.43 Sejumlah peluru, peledak dan senapang
patah ditemui dalam tangkapan tersebut. Walau bagaimanapun kesemua mereka
menafikan terbabit dan sebaliknya menyatakan bahawa mereka dihanyutkan dari
Kepulauan Filipina yang berhampiran. Malah pada tahun 2001, misalnya sejumlah
125 kes penyeludupan senjata api berjaya dipatahkan. Penyeludupan syabu ke
negara ini juga datang dari negara jiran khasnya dari Zamboanga, Maibog, TawiTawi, Bongao dan Palawan. Dadah ini kemudiannya telah disebarkan ke seluruh
bandar-bandar di seluruh Sabah terutama di Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan
Kota Kinabalu. Penyeludupan dua barangan ini membahayakan keselamatan
penduduk tempatan dari segi jenayah yang akan berlaku serta pembabitan anakanak temapatan dalam kegiatan najis dadah. Misalnya pada tahun 2001 sebanyak
522 kes tangkapan telah dibuat di pantai timur Sabah membabitkan syabu. Pada
tahun 2002 pula jumlah tangkapan ialah 457 kes.
Kehadiran pendatang di Sabah juga seumpama bom jangka kepada
penduduk tempatan. Hal ini disebabkan mereka membawa bersama penyakit
yang berjangkit malah ada sesetengah penyakit hampir dapat dihapuskan oleh
pihak kerajaan. Kerajaan telah menghantar balik 15,000 pekerja sah kembali ke
negara asal kerana didapati berpenyakit.45 Tidak dapat dibayangkan bagaimana
pendatang yang datang secara haram memasuki negara ini tanpa ditapis oleh
FOMENA membawa bersama mereka penyakit berjangkit. Namun realitinya ,
kedatangan mereka secara haram ke negara ini menyebabkan penyakit-penyakit
seperti batuk kering dan taun kembali menular dalam kalangan penduduk
tempatan. Batuk kering didapati menular sebagai penyakit nombor satu yang
membawa kematian disebabkan oleh pergerakan penduduk yang tidak terkawal
yang berlaku di negara ini yang membabitkan pendatang. Penyakit taun pula
merupakan suatu epidemik yang sering dihadapi oleh pendatang di kawasan
koloni mereka tetapi sering dirahsiakan daripada pengetahuan umum kerana
bimbangkan penduduk tempatan. Malah penyakit-penyakit lain seperti hepatitis,
kusta, dan gonorhea didapati dalam kalangan pendatang. Apa yang ditakuti ialah
jika ada dalam kalangan pendatang ini yang bekerja di restoran sebagai pencuci
pinggan, tukang masak atau pelayan. Hal ini sudah tentu akan mendedahkan
penduduk tempatan kepada epidemik yang sudah tentu boleh meninggalkan kesan
yang bukan kecil ke atas masyarakat.
Pendatang juga turut menjadikan koloni kampung air sebagai pusat aktiviti
jenayah dan penempatan tanpa peraturan dan undang-undang. Di Sabah terdapat
beberapa kampung air yang didiami oleh penduduk keturunan Filipina yang
asalnya dibina sebagai pusat penempatan pelarian. Kampung ini termasuk
Kampung Pondo, di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Kampung BDC, di Sandakan,
Kampung Icebox & Kampung Hidayah, Tawau, Kampung Puyut, Kampung Bakau,
Lahad Datu dan Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung BangauBangau, Semporna. Penyeludup menggunakan kampung air sebagai pusat untuk
mendarat dan mengedar barangan seludupan seperti dadah, senjata, rokok dan
sebagainya. Hal ini kerana kumpit iaitu pengangkutan air yang digunakan mampu
untuk meredah bawah rumah. Di sini syabu dijual secara terbuka. Wang palsu
bertukar tangan. Penduduknya membuang sampah ke dalam air termasuk najis
dan semua ini mendedahkan penduduk kepada bahaya penyakit berjangkit. Selain
itu wujud kegiatan pelacuran. Kegiatan mencuri air dan letrik cukup ketara dalam
kalangan penduduk. Pergaduhan antara kumpulan-kumpulan pendatang sering
berlaku yang membabitkan senjata pistol, parang dan pedang yang lazimnya
membawa kematian. Paling ketara pihak berkuasa seperti polis tidak akan
membuat rondaan jika berseorangan atau pada malam hari. Hakikatnya, kolonikoloni yang tanpa peraturan dan undang-undang ini merupakan entiti yang wujud
di pinggir-pinggir bandar sesuai dengan cara hidup pendatang tetapi boleh
mendedahkan ancaman kepada keselamatan penduduk tempatan.
Implikasi dan Dasar Kerajaan
Seperti yang dijelaskan dalam perbincangan sebelumnya, isu keselamatan yang
telah meninggalkan impak yang besar kepada Malaysia. Ini menuntut
tanggungjawab yang besar daripada kerajaan pusat untuk menangani masalah
yang timbul. Dalam hal ini, didapati bahawa sememangnya banyak usaha-usaha
yang perlu dan akan dilakukan untuk berhadapan dengan isu ini antaranya ialah:
Usaha Membantu Penduduk Pulau
Penduduk pulau di sepanjang pantai timur Sabah merupakan unsur yang penting
dalam menjamin keselamatan di Sabah. Walaupun tidak semua pulau berpenghuni,
tetapi rata-rata mereka terdiri daripada penduduk keturunan Filipina yang miskin
serta perlu dibantu. Perkara ini kerana keadaan kemiskinan akan mendedahkan
mereka kepada aktiviti-aktiviti haram yang sudah tentu akan membantu mundu
misalnya. Oleh itu, usaha perlu dilakukan bagi membantu golongan ini supaya
mereka terlibat dengan aktiviti ekonomi seperti perikanan, penanaman rumpai
laut dan sebagainya yang mampu membawa pulangan yang besar kepada mereka
sekaligus mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan dan menghalang
pembabitan mereka dengan unsur-unsur yang mengancam negara.
Belanjawan Pertahanan
Insiden penculikan Sipadan telah mendedahkan betapa Kerajaan Pusat tidak
memberikan perhatian sewajarnya kepada aspek keselamatan di pantai timur
Sabah. Walaupun Kerajaan memberikan jaminan selepas berlakunya penculikan
di Sipadan namun pada bulan September, satu lagi insiden penculikan telah61
Wan Shawaluddin, Ramli - Isu-isu Keselamatan Sabah Dan Impak Kepada Malaysia
berlaku di Pulau Pandanan. Insiden Sipadan dan Pandanan telah menyebabkan
kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM6 bilion sebagai langkah
mempertingkatkan keselamatan di Sabah. Perkara ini membabitkan penambahan
5 batalion tentera darat, 5 batalion PGA, 30 bot peronda tentera laut dan 5 jet
Hawks yang berfungsi mengawal perairan Sabah. Teluk Sepanggar telah
dibangunkan sebagai pelabuhan bagi menempatkan kapal selam yang masih dalam
pembinaan serta pengkalan Paskal di Tawau. Pada masa yang sama belanja
pertahanan bagi negara juga perlu dipertingkat bagi memastikan pertahanan
negara kelihatan credible kepada pihak luar. Hanya dengan perbelanjaan
pertahanan membolehkan negara memiliki kapal perang serta pesawat perang
yang lebih sofistikated serta terbaik bagi mempertahankan negara.
Berdasarkan isu yang dihadapi iaitu tuntutan Spratly serta tuntutan bertindih
yang bakal dihadapi pada masa akan datang , Sabah memang memerlukan
perhatian yang lebih dari segi belanja pertahanan bagi meningkatkan keupayaan
keselamatan agar tidak diperlekehkan oleh pihak luar. Di samping itu penubuhan
Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia / agensi pengawal pantai pada bulan Jun
2005 juga dilihat akan memberi banyak sumbangan kepada penjagaan perairan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan